Tuesday, 11 October 2016

Kebaikan Tiada Perang

Kebaikan pameran ini adalah ia dapat memberi kesedaran kepada orang ramai tentang bahayanya peperangan. Peperangan bukan sahaja mengorbankan nyawa mereka yang tidak berdosa seperti wanita dan kanak-kanak dan golongan tua, bahkan ia juga memusnahkan harta benda awam, harta persendirian dan juga tempat-tempat bersejarah.
Selain itu, jika peperangan tidak wujud maka sebuah negara dapat mengekalkan keamanan dan menjaga hak-hak asasi manusia. Negara yang mempunyai konflik sehingga tercetusnya peperangan telah banyak menyebabkan rakyatnya hidup dalam kesengsaraan dan kehilangan ahli keluarga. Sebagai contoh semasa perang dunia kedua, kesan letupan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki telah menyebabkan rakyat Jepun mengalami kesengsaraan disebabkan oleh radiasi nuklear. Ia akan menimbulkan kesan negatif terhadap perkembangan tubuh dan mengganggu sistem anggota badan sehingga menyebabkan kecacatan kekal.
Disamping itu, negara yang bebas daripada peperangan akan dapat mengekalkan  khazanahnya. Peperangan telah menyebabkan pelbagai unsur dalam pembangunan ketamadunan yang menjadi kebanggaan manusia musnah sama sekali. Unsur-unsur tamadun manusia yang diwarisi penting dalam usaha menyedarkan generasi muda tentang perkembangan manusia dan artifaknya. 
Jika tiadanya istilah peperangan didalam kamus, maka setiap individu itu dapat merentasi setiap negara tanpa halangan yang ketat. Hal ini dapat memberi kesan baik kepada setiap negara yang ingin menjalinkan hubungan diplomasi serta memberi impak positif terhadap perkembangan ekonomi sesebuah negara.
Negara yang bebas dari peperangan secara amnya bebas dari penaklukan kuasa-kuasa besar yang ingin memonopoli hasil bumi disesebuah negara. Jika berlaku penaklukan, aktiviti ekonomi seperti eksport dan import akan terganggu. Pada masa yang sama, hasil yang dimiliki oleh negara tersebut tidak lagi boleh diagihkan kepada rakyatnya kerana dikuasai oleh kuasa asing.  Ini kerana kuasa asing ini akan menyalurkan duit dari hasil ekonomi ini kepada negara asal mereka.
Kesimpulannya, tiada peperangan yang mendatangkan kebaikan kepada umat manusia diseluruh dunia. Ia hanyalah menguntungkan satu pihak yang tamak sahaja yang ingin menguasai kekayaan dan mengawal dunia. Peperangan akan mengakibatkan  setiap manusia tidak percaya antara satu sama lain, malah ada juga yang sanggup membelot terhadap negaranya sendiri demi kepentingan diri sendiri. 


No comments:

Post a Comment